Tarikh : 6 Oktober 2022
Hari : Khamis
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Terminal Muafakat, Ujana Ilmu, Bilik Sumber PPDa, Bilik Operasi SPBT Sekolah (SPBT), Musalla Raudatul Ilmi dan Bilik Bitara Kriket
Pada 6 Oktober 2022 (KhamiS), SK Taman Putra Perdana telah menerima kunjungan mesra daripada dua buah sekolah iaitu SK Setia Alam dan SK Methodist Pelabuhan Klang ke sekolah ini yang mana kedua-dua sekolah tersebut dalam sesi lawatan penanda arasan bagi berkongsi idea dan percambahan buah fikiran yang dapat dikongsi bersama dalam memajukan dan membangunkan lagi prestasi dan keperluan di sekolah masing-masing. Keterlibatan barisan guru daripada kedua-dua buah sekolah ini adalah seramai 25 orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
Di antara objektif lawatan ini adalah:
- Berkongsi idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SK Taman Putra Perdana agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid.
- Merancang dan menyelaras program-program sekolah agar potensi murid dapat ditingkatkan dengan perancangan yang lebih bersesuaian.
- Memurni budaya kerja cemerlang dalam kalangan guru-guru agar dapat memacu kecemerlangan murid dengan cara yang bersesuaian dengan minat dan keperluan mereka.
Kedua-dua delegasi kepimpinan daripada kedua-dua buah sekolah tiba di SK Taman Putra Perdana pada jam 8.30 pagi dan telah disambut oleh Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku guru besar serta kesemua barisan pentadbir sekolah. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian turut sama menyambut ketibaan ahli rombongan. Seterusnya kesemua tetamu telah dibawa ke Dataran Perhimpunan SKTPP untuk sesi fotografi sebagai kenang-kenangan yang akan diingati dalam lipatan sejarah sekolah.
Gambar-gambar semasa ketibaan pelawat di SK Taman Putra Perdana:
Kini, tibalah masa kepada agenda utama lawatan penanda arasan ini iaitu sesi perkongsian dan kolaborasi antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat. Ustaz Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah selaku pengerusi majlis telah memberikan kata-kata aluan sebagai pembuka bicara serta mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang diraikan ke SKTPP.
Bagi memberkati majlis, Ustaz Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi telah membacakan doa memohon restu dan redha Ilahi supaya segala perancangan majlis dipermudah serta mendapat keberkatan daripada ALLAH S.W.T.
Bagi memulakan majlis, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku Guru Besar SK Taman Putra Perdana telah menyampaikan ucapannya. Beliau memberikan penghargaan kepada semua barisan pentadbir dan PIBG yang turut sama hadir memeriahkan majlis serta mengalu-alukan kedatangan semua delegasi guru yang turut serta dalam lawatan penanda arasan ini. Bukan itu sahaja, beliau turut sama berkongsi kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh SK Taman Putra Perdana bermula dari tahun 2014 sehingga kini. Secara tidak langsung, kejayaan yang telah dikecapi merupakan kebitaraan sekolah.
Tidak lengkap kiranya tidak mendengar kalam bicara dua orang tonggak pimpinan daripada kedua-dua sekolah yang diraikan. Pertama, ucapan Tuan Haji Dr. Ahmad Fuadi bin Sarham selaku Guru Besar SK Methodist Pelabuhan Klang. Beliau merupakan bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran & Kurikulum di sekolah ini sebelum khidmatnya diperlukan di sekolah tersebut. Kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini menjadi penyumbang utama serta pengalaman yang dimiliki dalam menyambung kecemerlangan pendidikan murid di sekolah tersebut. Beliau turut sama berkongsi pahit getir serta perjuangannya di sekolah yang baru serta usahanya dalam mencapai kejayaan yang membanggakan.
Encik Mohamad Fadzli bin Abdul Rahman pula merupakan Guru Besar SK Setia Alam yang tidak kurang hebatnya. Beliau juga tidak lokek berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki bersama semua yang hadir. Walaupun masih lagi baru menyandang jawatan sebagai guru besar di sekolah tersebut, namun bakat serta kredibiliti sebagai seorang ketua cukup terserlah ditambah pula dengan keupayaan dan kehebatan yang turut dikongsi bersama guru-guru di bawah pimpinannya yang juga membawa kepada kemajuan dan kecemerlangan sekolah umumnya serta murid secara khususnya.
Sebaik sahaja selesai ucapan daripada kesemua barisan guru besar, majlis diteruskan dengan persembahan video hasil idea kreatif daripada Encik Wan Faizol bin Wan Mat yang mana video tersebut memaparkan barisan kepimpinan SK Taman Putra Perdana, kemudahan dan bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh murid dan sekolah secara keseluruhan. Video berdurasi hampir 30 minit ini juga merupakan tayangan montaj yang telah digunakan semasa Penilaian Anugerah Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2019 yang memberikan pencapaian Tempat Keempat. Ianya merupakan kejayaan yang sangat membanggakan yang pastinya membawa kenangan dan pengalaman yang besar kepada semua warga sekolah untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
Sesi menandatangani sijil jaringan menjadi bukti termetrainya jaringan dan kerjasama antara ketiga-tiga sekolah ini. Sesi ini dimulakan dahulu dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan diikuti pula dengan SK Setia Alam. Sesi penyerahan sijil jaringan dan penyampaian cenderamata sebagai kenang-kenangan turut dijalankan semasa sesi ini. Dengan selesainya penyerahan sijil jaringan dan cenderamata ini maka berakhirlah sesi perkongsian rasmi di dalam Terminal Muafakat.
Gambar-gambar semasa sesi menandatangani sijil jaringan antara SK Taman Putra Perdana bersama dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan SK Setia Alam serta penyampaian cenderahati antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat:
Tidak berakhir di situ, kesemua delegasi kepimpinan ini dibawa melawat ke bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah ini, antaranya ialah:
- Pusat Sumber (Ujana Ilmu)
- Surau (Musalla Raudatul Ilmi)
- Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS)
- Bilik Sumber PPDa
- Bilik Bitara kriket
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua barisan pentadbir, guru-guru dan jawatankuasa pelaksana bagi ketiga-tiga sekolah yang telah menjayakan lawatan ini secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya, segala pengorbanan dan kerjasama yang diberikan akan membentuk satu kesefahaman yang padu dalam mencapai objektif dan matlamat melahirkan kemenjadian murid yang terpuji. Semoga usahasama ini akan dapat dilanjutkan lagi pada masa akan datang. Guru Besar bagi kedua-dua buah sekolah sempat mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas layanan dan masa yang diberikan kepada mereka dan mengharapkan agar ada lagi kolaborasi bersama pada masa depan. Mereka juga memohon maaf sekiranya terdapat khilaf dan salah sepanjang berada di SKTPP. In Syaa Allah kita akan bertemu lagi nanti. Mereka meninggalkan SKTPP pada jam 1.00 petang. Walaupun mereka tidak berada lama di sini, namun kenangan dan ingatan akan tetap terpahat selamanya.
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.
Hati gembira bersama teman,
Bergembira ria di bawah jambatan,
Seandainya kita diizin Tuhan,
Tentu bersua di hari kemudian.
TERIMA KASIH SK METHODIST PELABUHAN KLANG
&
SK SETIA ALAM
Disediakan oleh :
Syahirah Tumar
No comments:
Post a Comment